Buat kawan-kawan lama yang mengambil YKT213 (Zaharom), di sini ada artikel menarik... It might be a bit late, but here goes...
Kebebasan dengan tanggungjawab
Oleh Johan Jaaffar
TIDAK ada wartawan yang lebih berotoriti bercakap tentang "kebebasan
media" dari John Pilger. Berasal dari Australia, Pilger bukan sahaja
merupakan wartawan yang membuat laporan di medan perang dan di banyak
lapangan konflik tetapi beliau juga seorang penelaah dan pengkritik media
yang berani. Buku terbarunya Freedom Next Time sekali lagi membuka mata
kita tentang dilema pangamal media serta tanggungjawab moral mereka dalam
dunia yang semakin keliru dan biadab. Sebelum ini Pilger menghasilkan
Distant Voices, juga kritikan terhadap amalan kewartawanan.
Memang tiada siapa yang dapat menafikan pengaruh media hari ini.
Walaupun apa yang disebutkan "media alternatif" yang secara mudah
ditafsir sebagai laporan, analisis dan berita dalam dunia siber, media
tradisional masih punya taringnya. Lebih suku abad selepas Peristiwa
Watergate - titik tolak penting bagaimana media dikagumi dan digeruni -
dunia media sudah jauh berubah. Tetapi satu hal tidak berubah - prinsip
dan etika yang mendukung dunia kewartawanan itu sendiri.
Pilger mengingatkan kita tentang bagaimana pengamal media harus
bertanggungjawab pada profesyennya. Dalam konteks yang lebih luas ialah
tanggungjawab itu melebihi sekadar melapor dan membuat liputan. Berita
yang dilaporkan bukan sekadar peristiwa dan sejarah. Berita punya sebab
dan akibatnya selain latar belakang dan sejarahnya. Maka itu pemberitaan
yang objektif tidak sekadar melaporkan sesuatu dalam konteks berita yang
tertera tetapi juga rentetan peristiwa di belakang berita itu.
Pilger menunjukkan bagaimana media sering melupakan isu yang lebih
pokok apabila diseret untuk melaporkan berita semasa yang besar dan
sensasi. Malah aspek mensensasikan berita inilah yang selalunya
meletakkan pengamal media pada kritikan dan kecaman umum. Ada pemberitaan
"pasang siap" yang tujuannya tidak lebih untuk keperluan tertentu,
lengkap dengan "slant" dan "spin" yang tersendiri.
Pilger bukan sendirian menegur hal ini. Sebelum ini kacau bilau media
Amerika Syarikat (AS) dilabelkan oleh Howard Kurtz sebagai "sarkas
media." Dalam Media Matters, John Friskie menegur masyarakat yang
dianggapnya "gila media." Manusia menganggap sebagai betul apa sahaja
yang dilaporkan pada mereka selain mengagumi tokoh-tokoh yang dibina oleh
media.
Pilger mengingatkan pengamal media bagaimana mereka kadang-kala terlupa
bahawa akibat ingin kelihatan "bertanggungjawab", mereka melupakan
prinsip yang menjadi teras profesion mereka. Ada "kuasa lebih tinggi"
yang menguasai pertimbangan mereka. Ada kalanya kuasa itu datang dari
pimpinan kerajaan, ada kalanya dari tuan punya media itu atau editor yang
mempunyai kepentingan sendiri.
Ambil sahaja contoh reaksi media AS selepas Peristiwa September 11,
2001. Media negara itu "dituntut" untuk memperlihatkan diri mereka
patriotik jikalau tidak mereka dianggap tidak relevan. Malah nada
patriotisme itu menguasai media arus perdana hinggakan pertimbangan lain
dikesampingkan. Dalam rencana saya, "Media as Manipulator" dalam akhbar
New Straits Times, 18 Disember 2001, saya menanyakan apakah benar media
AS beroperasi sebagai "media yang dirancang" (a managed one) oleh
tangan-tangan yang tidak kelihatan? Saya menanyakan juga tentang
hancurnya hak asasi dan kebebasan sebenar dalam waktu seumpama itu. Media
Barat menggunakan kata-kata dan ungkapan yang mewajarkan tindakan
kerajaan mereka. Islam dilabelkan militan dan istilah "jihadist" pertama
kali muncul untuk mewajarkan tindakan keganasan penganut agama Islam.
Pilger melihat bahaya yang lain. Menurut beliau media Barat bertindak
sebagai serpihan dari mentaliti penjajahan yang masih berleluasa. Andaian
kolonial amat jelas apabila media AS melaporkan jumlah mangsa di dua buah
menara di New York pada 11 September itu, lebih kurang 8,000 orang. Tiada
siapa yang mengingat angka yang diberikan oleh Organisasi Makanan dan
Pertanian PBB mengenai bilangan kematian kanak-kanak dalam sehari di
dunia - 36,615 orang.
Apabila tentera AS menyerang Baghdad, di daerah al-Shula, 62 orang
terkorban akibat sasaran bom yang salah. Seperti banyak mangsa serangan
AS dan sekutunya, mereka tidak lebih "collateral damage." BBC, badan
penyiaran Britain yang turut terikut dengan sentimen AS membuat laporan
45 saat kejadian itu atau kurang sesaat bagi setiap mangsa. Tumpuan media
Barat pada ketika itu hanya pada tindakan menghancurkan tentera Saddam
Hussein - "makhluk" yang sebenarnya ciptaan AS dan sekutunya.
Mengapakah mangsa serangan AS dan sekutunya tidak sepenting kematian
beberapa orang anggota tentera mereka? Mengapakah nasib 800 juta manusia
yang hidup dengan RM3.20 sehari tidak mendapat perhatian berbanding
dengan pertandingan merebut jawatan Presiden AS?
Tidak banyak orang yang tahu makna sebenar "dasar luar AS kepada
kemanusiaan." Inilah dasar yang tidak mungkin berubah walaupun siapa yang
memenangi Pilihan Raya Presiden kali ini - Barack Obama atau John McCain.
Menurut buku Rogue State karya William Blum, di antara tahun 1945 hingga
2005, AS telah cuba menggulingkan 50 kerajaan, kebanyakannya kerajaan
yang mengamalkan demokrasi, dan menghancurkan 30 gerakan popular rakyat
menentang rejim yang menindas, mengebom 25 buah negara dan menyebabkan
kematian berjuta-juta manusia.
AS membelanjakan RM1.2 trilion pada tahun 2003 untuk tenteranya. Jumlah
itu 33 kali ganda lebih banyak daripada perbelanjaan ketenteraan
terkumpul tujuh buah negara yang dilabelkan "negara penyangak" oleh
Presiden Bush. Jumlah itu meningkat lagi selepas September 11.
Secara mudah, "orang lain" dianggap "expandable" dari kacamata media
Barat yang dikelabui oleh perspektif dan wacana kolonial ini. Apalah
maknanya rakyat negara-negara miskin yang saban hari mati kerana
kebuluran atau Aids? Pilger menunjukkan perang untuk membasmi kemiskinan
dan buta huruf di negara-negara Latin Amerika tidak pernah menarik
perhatian media AS, sebaliknya perang saudara di Nicaragua menjadi isu
besar.
Kita jangan lupa, terorisme merupakan perkataan baru yang diberi makna
baru selepas 11 September. Sebelum itu, AS membantu hampir semua gerakan
ketenteraan dan kumpulan penentang dari Nicaragua hingga Afghanistan.
Mereka wira media AS. September 11 tiba-tiba menjadikan mereka pengganas.
Kita terlupa bahawa apabila PBB meluluskan resolusi pada tahun 1987
untuk ahli-ahlinya menentang "terorisme di mana sahaja dan oleh
sesiapapun yang melaksanakannya" hanya dua negara yang menentang - AS dan
Israel. Tiba-tiba AS dan sekutunya bertindak memburu sesiapa yang
dilabelnya pengganas dan menyerang negara-negara yang dianggap melindungi
pengganas. Mengapa berubah begitu cepat?
Pilger mengingatkan kita bahawa "war on terror" kini menjadi "a war of
terror." Tetapi tidak banyak wartawan Barat yang mahu menghujahkan hal
itu. Begitu juga isu yang membabitkan nasib rakyat Palestin yang telah
dinafikan hak kemanusiaan mereka selama lebih 54 tahun. Apakah pembelaan
terhadap nasib mereka berbanding dengan kekejaman rejim Israel? Oleh
kerana media pro-Yahudi menguasai pandangan umum, rakyat Palestin juga
dinafikan gelanggang hujah dan debat.
Demikianlah Pilger mengingatkan pengamal media tentang bahaya melihat
hanya dari perspektif yang sempit. Semua pengamal media harus bercermin
diri untuk melihat sejauh mana kita mendukung sesuatu pendirian atau
fahaman. Dalam konteks pengaruhnya memang media boleh memutar belit dan
memperdaya. Media tidak boleh membenarkan peraturan politik - dari
mana-mana pihak - menentukan agendanya.
Lagipun media banyak kaitannya dengan persepsi. Banyak orang yang
melihat "perspektif yang sempit" hanya dalam konteks kononnya hanya media
arus perdana negara ini yang terkawal dan tidak punya kebebasan. Tetapi
realitinya apakah media milik parti pembangkang bebas dan objektif?
Apakah mereka memegang prinsip kewartawanan yang sebenar? Mengapakah ada
double-satandard dalam membuat penilaian?
Pembinaan sebuah masyarakat sivil harus bertolak dari media yang bebas.
Media bebas tidak datang tanpa komitmen dan prinsip. Memang kita boleh
menghujahkan apa maknanya kebebasan media dan hak bersuara. Debatnya akan
berpanjangan. Tetapi satu hal adalah jelas - kebebasan media harus datang
dengan tanggungjawab dan bukan lesen untuk memporak peranda, merosak atau
memfitnah.
(END)
HELP
Adele - Make You Feel My Love
-
When the rainIs blowing in your faceAnd the whole worldIs on your caseI
could offer youA warm embraceTo make you feel my love When the evening
shadowsAnd t...
13 years ago
No comments:
Post a Comment