Monday, May 07, 2007

Buku...

Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang baru berkahir 6 Mei lalu...

****

"Saya di sekolah pun kena baca buku cerita juga. Tapi kami semua kena baca buku Inggeris. Bukunya banyak. Kami pilih sajalah. kata cikgu kami, buku Inggeris tinggi mutunya. Kami bacalah; kami baca buku-buku karangan Charles Dickens, Jane Austen, Mark Twain, Joseph Conrad dan banyak lagi," kata Hilmy menerangkan.

"Ho, macam Hilmy bolehlah baca buku Inggeris, Hilmy tahu bahasanya. Macam kita ni baca buku-buku Melayu sajalah. Lagi pula apa gunanya kita tau tentang orang lain, kalau kita tak tau tentang diri kita sendiri," kata Nahidah.

"Kata cikgu kami buku-buku Inggerislah yang tinggi mutunya di dalam dunia ini. Sebab itulah kami baca buku-buku tu - kami baca semua buku-buku Inggeris yang tinggi mutunya," kata Hilmy menerangkan lagi.

"Yalah. Tapi takkanlah benar buku-buku Inggeris saja yang tinggi mutunya. Lagi pula kalau tinggi pun mutu buku-buku Inggeris tu, takkanlah awak orang Melayu tu tak mau baca buku-buku Melayu pulak. Kalau benar buku-buku orang Melayu tak bermutu, bacalah saja kerana isinya, periksalah apa yang terkandung di dalam hati dan fikiran penulis-penulis Melayu, periksalah apa yang ditulis oleh penulis-penulis Melayu tentang orang sebangsanya. kata orang sekarang ni zaman bangsa kita belajar kenal dirinya sendiri, zaman kita mulai sedar. Hah, kalau dah gitu bila lagi endak sedar kalau buku bangsa sendiri pun tak endak baca? Endak tunggu sampai bangsa Melayu tenggelam terus baru endak dibaca sejarah kejatuhannya itu?" kata Nahidah menunjukkan bahawa dia sebenarnya bukanlah duduk dan berfikir tentang apa-apa yang berlaku di bawah atap rumahnya sahaja seperti yang disangkakan Hilmy pada beberapa waktu yang lalu.

Salina - A. Samad Said, 1961.

Bacalah.

No comments: