Aku tau dah lama kisah ayam naik harga bermain di media. Tapi harus diingat bahawa kisah ayam ini tak akan luput selagi keadaannya kekal sebegitu. Aku ingin menarik perhatian berkenaan satu rencana tulisan Datuk Johan Jaafar pada 23 Sept lalu di Berita Minggu. Apa yang menarik mengenai artikel itu ialah kuasa membeli yang ada pada pengguna Melayu.
Seringkali tiba musim perayaan yang disambut orang Melayu, pasti akan ada kenaikan harga barang. Kali ini, ayam menjadi taruhan. Namun, kalau difikirkan kembali, tiada apa yang tak kena sekiranya kita tak makan ayam untuk beberapa ketika. Malah kalau tak makan ayam langsung pun tak apa. Kerana apa? Sebab kalau kita tak makan ayam, maka ayam akan berlambak di pasaran dan ini mendesak harganya diturunkan semula.
Kenapa penting bagi kita untuk memboikot ayam buat seketika? Sebab jumlah pengguna Melayu yang melebihi 60% daripada keseluruhan jumlah pengguna Malaysia, memberi makna yang besar. Apalah gunanya sekiranya kita mempunyai jumlah, tapi tidak mempunyai kuasa? Bak kata Johan Jaafar, 'jumlah itu kuasa'. Tapi kita tak tahu guna 'kuasa' kita ke arah sesuatu yang berfaedah.
Aku sendiri dah tak makan ayam buat masa ini. Baik yang percuma semasa jamuan berbuka puasa di hotel-hotel di sini, ataupun di rumah. Malah, seluruh keluarga dah tak beli ayam sejak beberapa ketika ini.
Aku bukan nak menekan peniaga ayam di pasar yang kebanyakannya orang Melayu. Bukan nak tutup periuk nasi mereka. Tapi mereka, peniaga ayam tu, hanya cabang kecil daripada permasalahan ini. Mereka pun ditekan oleh pemborong. Pemborong pun ditekan oleh pembekal. Siapa dia pemborong dan pembekal? Kita faham sendiri lah. Sampai sanggup mencabar menteri nampak gayanya.
Kesimpulan di sini, gunakanlah kuasa yang ada di tangan kita sebaik-baiknya. Tekanan datang dari pembekal kepada peruncit, seterusnya pengguna (kita). Maka kini kita kembalikan tekanan itu kepada mereka, mengikut turutannya. Ingatlah, jumlah itu kuasa.
Baca lagi!