Saturday, September 22, 2007

Bosanlah...

Ah bosanlah cerita babi. Bukannya apa, dah memang tak boleh nak buat apa. Daripada tarikh akhir 21 Sept, sekarang dah jadi 4 Okt. Lembik lah.

Kisah Nurin Jazlin memang sedih. Tak patut orang buat macam tu kat dia. Budak lagi tu. Banyangkan kalau anak kita sendiri yang kena. Kesian. Tapi di sebalik perkara itu, ada pengajarannya. Jaga anak kita baik-baik. Jangan biarkan 'lepas' begitu saja. Pergi kedai, pergi pasar malam seorang diri. Apa mereka boleh buat kalau kena tangkap masuk dalam van pun. Budak kecil.

Bulan ini, aku 'kehilangan' seorang sahabat. Bukannya hilang pun sebenarnya, cuma dia pergi belajar di peringkat Phd di Cardiff, Wales. Sedih la juga mengenangkan zaman belajar dulu di USM bersama-sama, sampai sekarang dah ada anak, sambung belajar pula. Aku? Tak sambung lagi la. Tunggu dah lemau kat sini, baru ok. Apa pun, aku ucapkan selamat menempuh hidup baru dan selamat hari raya kepada Emma, Nik dan Diya di Cardiff.

Bulan puasa kat Melaka ni tak meriah sangat macam kat tempat lain. Mungkin meriah bagi sesetengah orang, tapi bagi aku, biasa sajalah. Pasar ramadan ada, bazar ramadan pun ada. Bezanya? Bazar jual barang-barang kering macam baju Melayu, capal dan sebagainya. Pasar ramadan pula jual, makananlah.

Buat masa ini, baru dua kali aku beli makanan dari pasar ramadan. Sekali tu, Ali Rustam belanja. Sekali lagi, terpaksa beli sendiri la. Hari ni pun kena beli jugaklah. Yang lain-lain buka puasa di hotel atau balikKL. Hotel? Ya memang hotel tapi bukan duit sendiri. Ada function lah. Tak kuasa aku nak buka puasa kat hotel. Dah kerja kita macam ni....camtu lah.

Sahur? Baru sekali bangun sahur kat Melaka ni. Bukan apa, takda makanan nak makan pun. Nak masak nasi, tak berbaloi untuk seorang. Makan puas-puas sebelum tido. Jadi ular sawa. Baca lagi!

Friday, September 07, 2007

Kambing hitamkah Abu Seman?

Dalam kekecohan isu babi di Melaka baru-baru ini, wujud satu watak yang tiba-tiba berlagak hero dalam kejadian itu. Abu Seman Yusop. Persoalannya, benarkah dia menjadi hero, atau sekadar kambing hitam yang diperbudakkan?

Melihat kembali rentetan periswtiwa 4 September lalu, SUK telah diberi mandat oleh KM untuk menyelesaikan isu babi di Paya Menkuang, Bukit Beruang dan Man Lok yang mempunyai hampir 150,000 ekor ternakan. Ketumbukan yang dihimpun pada pagi itu merangkumi polis, Rela, Jabatan Haiwan, Majlis Perbandaran Alor Gajah, TNB dan Syarikat Air Melaka Berhad.

Operasi nyata dihalang penternak, sambil ada menyatakan tiada notis diberi sebelum usaha pemusnahan dimulakan, padahal KM telah memberi 'kata dua' agar ternakan mereka dijual sebelum 31 Ogos, atau berdepan dengan tindakan tegas diambil memandangkan jumlahnya sudah melampau.

Tiba-tiba, kira-kira pukul 3 petang, muncul Abu Seman Yusop yang dipercayai tiba dari Kuala Lumpur (Parlimen sedang bersidang ketika itu) untuk menjadi orang tengah menyelesaikan isu terbabit. Putus Abu Seman, hanya 48,000 ternakan dibenarkan. Itupun di Paya Mengkuang dan semua tempat lain akan dikosongkan secara berperingkat.

Kenapa Abu Seman? Beliau adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah dan memandangkan ketiga-tiga kawasan terbabit berada dalam kawasan Parlimennya, maka Abu Seman steps in. Adakah dia sukarela menawarkan dirinya sebagai penyelesai masalah? Mungkin tidak. Isu ini adalah satu isu besar yang boleh merosakkan kerjaya politik. Tapi difahamkan, Abu Seman telah diarahkan oleh KM agar menyelesaikan masalah tersebut setelah SUK dan ketumbukannya gagal mencapai sebarang kemajuan setelah tengah hari. Maka bergegaslah Abu Seman menyelesaikan masalah.

Ada suara-suara menyatakan bahawa Abu Seman dikambing hitamkan. Khabar angin mengatakan bahawa KM tidak mahu dipindahkan ke kerajaan pusat dan ingin kekal di Melaka. Bagi mencapai tujuan tersebut, beliau perlu menghapuskan calon terbaik penggantinya supaya apabila tiada calon pengganti KM, maka KM kini perlu kekal menjadi KM. Calon terbaik atau next in line kini ialah Abu Seman--menurut sesetengh pihak lah. Jadi sekiranya Abu Seman gagal mengatasi masalah babi di kawasannya, maka susah dia hendak cari makan pada pilihan raya umum depan. Akan tetapi, dia juga mampu mengabil kesempatan terhadap situasi tersebut. Sekiranya dia berjaya melenyapkan masalah babi yang telah 50 tahun berlarutan itu, dia akan menjadi hero sebenar dan makin cerahlah peluangnya menjadi KM.

Akan tetapi, itu semua teori saja. Daripada kita sibuk nak memikirkan siapa menjadi KM baru, lebih baik kita renungkan nasib dan azab yang terpaksa ditanggung ribuan penduduk di kawasan Pengkalan Balak dan Kampung Teluk Gong yang bersebelahan dengan Paya Mengkuang. Kasihan. Baca lagi!

Wednesday, September 05, 2007

Paya Mengkuang

Nampaknya Abu Seman Yusop menjadi 'hero' Paya Mengkuang semalam. Daripada operasi memusnahkan hampir 150,000 ternakan babi, menjadi usaha mengekalkan 48,000 ternakan babi di Paya Mengkuang.

Dalam kehangantan operasi semalam, tiba-tiba out of nowhere Abu Seman Yusop datang buat mesyuarat di pejabat UMNO Masjid Tanah mengenai hal itu. Dalam perbincangan bersama wakil penternak, Abu Seman memutuskan hanya 48,000 ekor babi (jumlah yang ditetapkan kerajaan negeri) boleh wujud di Paya Mengkuang dan dua kawasan ternakan iaitu di Bukit Beruang dan Ayer Molek. Keputusan itu akan berkuatkuasa 21 September ini.

Persoalan sekarang ialah kenapa Paya Mengkuang, Alor Gajah yang dibenarkan beroperasi? Padahal, kerana penternakan di kawasan itulah yang menyebabkan Sungai Tuang menjadi keruh, hitam dan berbuih akibat pelepasan sisa najis babi. Sungai itu pula mengalir lesu menuju ke Kampung Teluk Gong, sebelum keluar ke Laut China Selatan.

Paya Mengkuang setakat ini mempunyai jumlah ternakan terbanyak di kawasan itu, hampir 100,000 katanya. Ini menjadikan dua lagi kawasan lain, iaitu Bukit Beruang dan Ayer Molek sekadar masing-masing mempunyai 25,000 ternakan. Bukit Beruang dan Ayer Molek pula terletak jauh dari penempatan manusia. Kalau ada pun, sedikit bilangannya. Mengapa Paya Mengkuang yang mempunyai jiran tetangga -- Kampung Teluk Gong jua dibenarkan mempunyai operasi? Hanya mereka yang mengetahui, mengetahuinya.

Tapi bermain juga di benak fikiran, mengapa Abu Seman Yusop yang jadi hero semalam? Pada masa yang sama, turut hadir Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah.

Yang pasti, kegagalan operasi semalam mendukacitakan dua watak dalam negeri Melaka, selain beribu penduduk berhampiran Paya Mengkuang yang terpaksa menanggung azab berterusan selepas ini. Mereka ialah KM Melaka dan SUK Melaka. Pada mulanya KM mengarahkan penternak menjual semua ternakan mereka menjelang 31 Ogos. Kemudian, operasi tersebut diserahkan kepada SUK yang membuat keputusan untuk melakukan operasi besar-besaran selepas penternak masih menyimpan ternakan mereka pada tarikh itu. Namun segala-galanya hancur selepas Abu Seman datang. "Saya tak boleh komen apa-apa lagi. Abu Seman yang bertanggungjawab sekarang," kata SUK semalam.

Kalau nak tahu, penternakan babi di Melaka sekarang adalah yang terbesar di Malaysia, selain terbesar di Asia Tenggara.

Kalau nak tahu lagi, ada sumber-sumber mengatakan bahawa penternakan itu didalangi peniaga Singapura yang mengekspot daging babi ke serata dunia.

Malaysia nak jadi hab halal sedunia ke, atau pengekspot babi terbesar? Mana satu ni?

Selepas 50 merdeka....alahai.

pix: A.R.L

Dalam post terdahulu, diapaparkan dua story yang belum diedit. Dibawah ialah story yang telah diedit dan berbeza nadanya. Kecewa sungguh dengan penerbitan Melayu, yang gagal memperjuangkan nasib bumi sendiri.


ALOR GAJAH - Operasi memusnahkan ratusan ribu babi di Kampung Bukit Beruang dan Ayer Molek di sini ditangguh ekoran bantahan para penternaknya semalam.

Pihak berkuasa terpaksa `berundur’ sebentar bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku apabila operasi itu bermula awal pagi dan sepatutnya selesai petang semalam.

Dalam operasi yang disertai kira-kira 500 anggota polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) itu, puluhan penternak membentuk satu barisan menghalang operasi itu.

Keadaan tersebut menyebabkan campur tangan Naib Pre siden MCA, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Pada satu sidang akhbar yang diadakan selepas pertemuan dengan kumpulan penternak babi tersebut, Abu Seman men jelaskan bahawa hanya ladang di Kampung Paya Mengkuang dibenarkan beroperasi selepas ini.

"Ladang itu bagaimanapun tidak boleh mempunyai lebih daripada 48,000 ternakan yang ditetapkan kerajaan negeri.

"Ladang-ladang di kawasan lain akan ditutup dan penternak diberi tempoh sehingga 21 September untuk mengosongkan ladang mereka, atau berdepan dengan tindakan tegas" ujar nya.

Jelas Abu Seman, terdapat banyak aduan berikutan masalah pencemaran udara dan sungai yang timbul akibat penternakan babi, selain jumlah ternakan yang berlipat kali ganda melebihi had yang ditetapkan.

Ogos lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam telah memberi ‘kata dua’ kepada penternak babi di kawasan itu agar menjual semua ternakan mereka bagi me ngatasi masalah pencemaran sebelum akhir bulan, atau ber depan dengan tindakan penghapusan. Baca lagi!

Tuesday, September 04, 2007

Babi menang, alam sekitar tewas.

Di satu pagi, ketika operasi oleh lebih 500 anggota polis, Rela dan lain-lain menghapuskan hampir 140,000 ternakan babi di Alor Gajah yang sudah berpuluh tahun mencemar Sungai Tuang dan laut....


ALOR GAJAH – Penduduk di Kampung Paya Mengkuang dan sekitarnya kini boleh menarik nafas lega kerana ternakan babi yang sekian lama mencemar udara dan sungai di situ, telah dihapuskan.

Dalam satu operasi bersepadu yang melibatkan hampir 500 anggota polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) semalam, kesemua ternakan di ladang Kampung Paya Mengkuang, Bukit Beruang dan Man Lok di sini telah dimusnahkan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mortadza Nazarene ketika ditemui berkata, operasi tersebut berikutan arahan kerajaan negeri untuk menghapuskan ternakan babi yang terdapat di kawasan tersebut, selain di Kampung Bukit Beruang dan Kampung Man Lok di sini.

“Masalah mengenai penternakan babi dan kesannya terhadap alam sekitar sudah sering dipaparkan dalam media dan penduduk sudah kerap kali mengadu mengenai hal ini.

“Kami telah diarahkan untuk melupuskan ternakan babi yang telah manjangkau 150,000 bilangannya, jauh melebihi 40,000 yang dibenarkan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, ternakan tersebut akan dikumpul di dalam beberapa lubang berukuran kira-kira 6x12x6 meter, sebelum dilupuskan menggunakan senjata.

“Lubang tersebut kemudian akan ditabur dengan kapur barus bagi mengurangkan bau, sebelum ia dikambus bagi mengelakkan penyakit berjangkit,” ujarnya.

Tinjauan K@*M#! di ketiga-tiga lokasi ternakan tersebut mendapati kawalan masuk ke kawasan itu dikawal ketat oleh anggota polis bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Malah, kenderaan yang cuba melalui kawasan penternakan itu telah diarah berpatah balik oleh polis dan terpaksa melalui jalan alternatif.

Dalam pada itu, operasi tersebut turut mendapat tentangan daripada golongan penternak yang cuba menghalang operasi dijalankan.

Mereka dilihat cuba menghalang anggota Rela dan polis yang cuba memasuki ladang mereka dengan meletakkan kenderaan berat dan kereta di pintu masuk ladang.

“Kami akan sedaya upaya menghabiskan operasi ini pada hari ini juga memandangkan banyak tugasan lain yang perlu diselesaikan,” kata Mortadza.

Bulan lalu, isu penternakan babi di kawasan terbabit telah menimbulkan kemarahan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berikutan masalah pencemaran yang ditimbulkan.

Beliau telah memberi ‘kata dua’ kepada pemilik ladang terbabit agar menjual semua ternakan mereka sebelum akhir Ogos atau tindakan tegas oleh kerajaan negeri akan diambil.

habis

Kemudian, pada pukul 4 petang (lebih kurang)....


ALOR GAJAH – “Langgarlah kami kalau berani”.

Demikian laungan beberapa penternak babi di Kampung Paya Mengkuang yang menggunakan perisai manusia bagi menghalang operasi pihak berkuasa memusnahkan ternakan mereka di sini, semalam.

Lebih mengejutkan, tindakan seorang lelaki yang menggunakan seorang kanak-kanak lelaki yang masih berpakaian sekolah sebagai perisai manusia ketika jentolak milik pihak berkuasa cuba memasuki ladang babi mereka.

Dalam operasi yang disertai hampir 500 anggota polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) semalam, kira-kira 150,000 ekor babi yang diternak di 70 ladang di kawasan itu termasuk di Kampung Bukit Beruang dan Ayer Molek di sini akan dimusnahkan.

Namun begitu, tindakan berani lelaki itu menyebabkan anggota operasi terpaksa berundur bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang.

Operasi yang bermula seawal pukul 2 pagi semalam, berlarutan sehingga pukul 4 petang disebabkan tentangan daripada golongan penternak hingga menyebabkan campur tangan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Dalam satu sidang akhbar yang diadakan selepas pertemuan dengan penternak babi tersebut, Abu Seman menjelaskan bahawa hanya ladang di Kampung Paya Mengkuang dibenarkan beroperasi selepas ini dengan syarat.

“Ladang itu tidak boleh mempunyai lebih daripada 48,000 ternakan yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Ladang-ladang di kawasan lain akan ditutup dan penternak diberi tempoh sehingga 21 September untuk mengosongkan ladang mereka,” ujarnya.

Jelas Abu Seman, terdapat banyak aduan berikutan masalah pencemaran udara dan sungai yang timbul akibat penternakan babi, selain jumlah ternakan yang berlipat kali ganda melebihi had yang ditetapkan.


Habis.


Bayangkan ada 48,000 ekor babi, diternak tidak jauh dari kediaman, sekolah dan kedai makan milik penduduk di Kampung Teluk Gong yang hanya berjiran dengan Kampung Paya Mengkuang.

Isunya, bukan sebab Cina yang ternak babi atau orang Melayu. Isu itu tak timbul kerana ada penternak babi itu (Cina), yang berkawan dengan nelayan di Kampung Teluk Gong (Melayu). Tapi isunya ialah kaedah penternakan serta lokasinya. Kampung Teluk Gong mempunyai pantai yang menarik, sesuai dijadikan pusat pelancongan. Malah, dah ada chalet-chalet didirikan di situ, namun mati tak berpengunjung begitu saja akibat bau babi. Tak cukup dengan itu, Sungai Tuang yang mengalir ke Laut China Selatan di situ, dah hitam, berbuih-buih dan berbau akibat pembuangan sisa najis ternakan mereka.

Satu persoalan mudah yang tak perlu ke Dewan Rakyat untuk menjawabnya: Tak boleh pindah tempat lain kah ladang babi itu? Baca lagi!